Guan Eng Dakwa Ucapannya Diputar Belit

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menafikan laporan sebuah portal kononnya beliau ada mendakwa ‘gelombang hijau’ di Pulau Pinang akan mengakibatkan tokong Buddha atau Cina dirobohkan.

Ahli Parlimen Bagan itu percaya ucapannya dalam bahasa Mandarin baru-baru ini telah diputarbelitkan dan laporan portal tersebut adalah tidak benar.

Guan Eng menjelaskan keadaan sebenarnya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

“Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum.

“Langsung tidak terlintas di fikiran saya untuk menggunakan isu 3R (raja, kaum dan agama) untuk meraih undi kerana saya yakin ia hanya akan memudaratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di dalam negara.” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Portal MalaysiaNow memetik China Press yang melaporkan berita mengenai ucapan Guan Eng dalam satu acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong, Pulau Pinang semalam.

Beliau berharap, semua pihak akan menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan Islam sebagai agama rasmi dan penganut agama lain bebas mempraktikkan kepercayaan mereka dengan selamat dan aman di mana-mana negeri dalam Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles