KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau tidak pernah menggunakan istilah “tuntutan” atau demand dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung 10 perkara yang dibangkitkan untuk perhatian kerajaan.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, penggunaan istilah berkenaan oleh sesetengah media adalah tidak tepat dan bersifat mengelirukan kerana perkataan tersebut tidak wujud sama ada di bahagian awal mahupun penutup surat bertarikh 8 Disember 2025 itu.
“Saya tidak pernah menggunakan istilah ‘tuntutan’ atau demand dalam surat kepada Perdana Menteri berkaitan 10 perkara tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Guan Eng, laporan yang menggunakan istilah berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah disifatkan provokatif kerana boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan antara pihak berkepentingan, sedangkan surat itu ditulis secara beradab dan penuh hormat.
Beliau menjelaskan, perkara yang dikemukakan dalam surat tersebut banyak menyentuh isu ekonomi, termasuk peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kaum bukan Bumiputera serta Sabah dan Sarawak yang menurutnya masih berdepan isu ketidakseimbangan layanan.
Sehubungan itu, Guan Eng menggesa media terlibat supaya bertanggungjawab dengan membetulkan laporan yang disifatkannya tidak tepat.
“Media perlu memainkan peranan secara sahih dan melaporkan fakta yang benar, bukan mencipta naratif yang tidak wujud,” tegasnya.










