Guan Eng Buat U-Turn, Cadang Nama Shafie Tapi Kemudian Sokong Anwar

Bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mencadangkan nama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Calon PM: “Saya Percaya Saya Penyelesaian Kepada Kebuntuan” – Kata Shafie

Selepas mengadakan perjumpaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Guan Eng bagaimanapun mengubah fikiran dan menyokong Presiden PKR itu.

“Lim Guan Eng yang cadang Shafie jadi calon perdana menteri kami.

“Tetapi malangnya, walaupun cadangan itu datang daripada beliau, Lim kemudian patah balik dan kata calonnya Anwar Ibrahim.

“Saya awalnya tanya mereka adakah mereka benar-benar mahu Shafie dan mereka kata ya. Tetapi selepas mereka jumpa Anwar, mereka tukar,” demikian menurut Dr Mahathir seperti yang dilaporkan The Malaysian Insight.

Nama Ketua Menteri Sabah itu naik sebagai calon perdana menteri PH selepas PKR bertegas menolak Dr Mahathir bagi jawatan yang sama buat kali ketiga.

Ujar PKR, sudah tiba masanya jawatan itu diserahkan kepada Anwar, apatah lagi isu peralihan kuasa itulah antaranya menjadi sebab kepada kejatuhan kerajaan PH pada Februari lalu.

Jun lalu Dr Mahathir menyokong Shafie sebagai calon PM dan mendakwa cadangan itu turut dipersetujui DAP dan Amanah – yang bagaimanapun tampil dengan kenyataan bahawa isu itu harus dibincangkan secara mendalam di peringkat parti dan pimpinan gabungan pembangkang itu.

Mesyuarat PH bertarikh 5 Julai lalu sepakat untuk berpegang kepada keputusan menjadikan Anwar sebagai calon perdana menteri jika usaha PH ke Putrajaya, berjaya.

Berrbalik kepada pencalonan dirinya sebagai perdana menteri, Dr Mahathir mendakwa PH masih boleh menjadi kerajaan sekiranya beliau diberikan kepercayaan penuh dari kesemua pimpinan ketika itu.

“Bila saya letak jawatan pada Februari dan semua orang diminta menyatakan siapa yang mereka mahu, saya sepatutnya diberikan sokongan penuh oleh PH kerana mereka kata mereka sokong saya sepenuhnya.

“Tetapi entah bagaimana Anwar meyakinkan mereka dia ada majoriti dan sokongan mencukupi untuk jadi perdana menteri. Jadi PH beri nama beliau.

“Saya hanya dapat 66 undi dan Anwar dapat 92.

“Tetapi 92 undi itu sepatutnya diberikan kepada saya kerana saya sepatutnya calon mereka dan saya juga perdana menteri sebelum ini. Oleh itu, saya kalah dan Anwar juga kalah,” kata Dr Mahathir.

Dalam pada itu, ditanya penerimaan masyarakat Melayu di Semenanjung terhadap Shafie sebagai calon PM, Dr Mahathir berharap ianya tidak menjadi masalah memandangkan Presiden Warisan itu mengahwini isterinya yang berasal dari Kedah, bahkan anak-anaknya juga memilih pasangan yang bukan berasal dari Sabah.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,867FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini