KUALA LUMPUR: Tidak mustahil untuk Gerakan Tanah Air (GTA) mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15.
Perkara itu dimaklumkan Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menambah, pertimbangan itu akan dibuat sekiranya prinsip PN adalah sama dengan gabungan baharu itu.
“Itu kita nak timbang (kerjasama dengan PN) kalau mereka sependapat dengan kita dan tak terlibat dengan dasar dan prinsip.
“Mungkin akan ada kerjasama dengan mereka,” katanya sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pihaknya akan meneliti keputusan kerjasama dengan GTA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu memberitahu, musuh utama gabungan parti politik tersebut adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kita bermusuh dengan UMNO kerana kalau menang akan rosak habis negara kita,” dakwanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sekiranya GTA bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) gabungan parti itu akan kehilangan undi orang Melayu..