KUALA LUMPUR: Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel di Pelabuhan Ashdod dijangka dibawa keluar dalam tempoh 48 jam menerusi penerbangan ke Istanbul atau Ankara.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, hasil rundingan diplomatik peringkat antarabangsa.
“Sedikit masa lagi mereka akan diterbangkan keluar, sama ada dari Ankara atau Istanbul. Kita dimaklumkan tempoh masa itu sekitar 48 jam,” katanya pada sidang media malam tadi.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Menurut Sani Araby, perkembangan itu adalah hasil rundingan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, selain sokongan negara sahabat lain.
Beliau turut menegaskan, misi flotilla tetap kekal dengan matlamat utama mendesak perang dihentikan, korban ditamatkan serta membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan bantuan sampai ke Gaza.
“Sokongan masyarakat antarabangsa membuktikan perjalanan flotilla ini telah mencetuskan gelombang solidariti global yang memberi tekanan besar terhadap Israel. Teruskan doa dan sokongan kerana inilah momentum untuk mendesak gencatan senjata sebenar,” katanya lagi.