KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Malaysia untuk membawa pulang 23 sukarelawan negara yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini mendapat sokongan diplomatik daripada pelbagai negara sahabat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan sedang menggunakan semua saluran yang ada bagi memastikan pembebasan dan kepulangan rakyat Malaysia tersebut.
“Kita sendiri tidak tahu pintu sempadan mana yang akan digunakan untuk menghantar pulang rakyat kita selepas mereka dibebaskan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Saya juga telah berhubung dengan rakan sejawat dari Jordan dan Mesir.
“Malah ketika menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 2025 di New York baru-baru ini, saya turut menghubungi Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), hari ini.
Terdahulu, Mohamad menerima taklimat terkini mengenai keadaan rakyat Malaysia berkenaan daripada Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Mohamad berkata, Malaysia turut memohon bantuan negara anggota ASEAN yang mempunyai kedutaan di Israel untuk menyediakan khidmat konsular kepada rakyat Malaysia, memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita meminta negara lain yang ada kedutaan di Israel membantu rakyat kita. Hasil rundingan, Kerajaan Jordan dan Turkiye telah memberi jaminan untuk membantu sama seperti usaha mereka membebaskan rakyat mereka yang turut ditahan.
“Ada banyak negara sahabat yang bersedia membantu, sebagaimana kita pernah membantu Singapura membawa keluar rakyatnya ketika Iran dibom sebelum ini,” jelas beliau.
Kerajaan Malaysia sebelum ini mengesahkan semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ditahan di Pelabuhan Ashdod, Israel, dan usaha berterusan sedang digiatkan bagi memastikan kepulangan mereka dalam keadaan selamat.