KUALA LUMPUR: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata pelawaan pihaknya terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bekerjasama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN Sabah) tidak akan berlaku selepas pihak di sana tidak menunjukkan minat.
Shafie berkata demikian bagi menjawab khabar angin bahawa rundingan antara GRS dan Warisan berjalan secara diam-diam seperti yang dilaporkan Daily Express.
“Apa respons yang kami dapat? Mereka kata, tidak. ‘Kami tidak mahu bekerjasama dengan Warisan’.
“Jadi terpulang kepada mereka. Saya kata, marilah bersatu, (tetapi) jangan bersatu kerana niat yang tamak, (untuk) kuasa dan jawatan,” ujarnya.
Shafie berkata, rakyat Sabah perlu bersatu untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekarang kerana negeri itu sudah ‘terlalu ketinggalan’.
Sekiranya keadaan yang sama berlanjutan, Shafie mendakwa hak negeri bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dapat dilaksanakan.
Menurut Shafie, Sabah mempunyai paling banyak parti politik di negara ini, yang hanya menandakan perpecahan, bukan perpaduan.
Tambahnya, Sabah juga harus bebas daripada retorik perpecahan yang berleluasa dalam kalangan parti Semenanjung.
Mengenai PRN yang akan berlangsung tahun ini, Shafie berkata, beliau yakin Warisan sudah cukup bersedia kerana parti itu bukanlah muka baharu.
“Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan Sabah berada di landasan yang betul,” kata Shafie.
Tambahnya, rakyat Sabah juga perlu diingatkan tentang masalah yang mereka hadapi seperti bekalan air dan elektrik, pendidikan serta kesihatan.