GRS Sambut Baik Hasrat Peter Tubuh Parti Baru, Bantu Kukuhkan Kerajaan Negeri

KOTA MARUDU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memberitahu bahawa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyambut baik hasrat bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony menubuhkan parti baharu yang mesra kerajaan negeri.

Pengerusi GRS itu berkata hasrat Peter, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu adalah satu usaha yang baik bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri.

“Itu dia punya (keputusan). Kita mengamalkan demokrasi dan beliau telah membuat keputusan demikian untuk menubuhkan parti baharu yang mesra dengan kerajaan GRS.

“Bagi saya sebagai ketua kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri. Jadi, kita berterima kasihlah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang ihsan RM1,000 kepada mangsa banjir, semalam.

Pada penghujung Disember lalu, Peter mengumumkan beliau telah keluar dari perjuangan Warisan yang disifatkannya ‘telah tersasar jauh’ apabila melebarkan perjuangan politiknya ke Semenanjung Malaysia.

Ujarnya tindakan sedemikin seolah-olah mengenepikan perjuangan sebenar Warisan untuk rakyat Sabah.

Sehubungan itu, Peter memaklumkan dirinya akan menubuhkan parti baharu yang memberi tumpuan kepada politik dan rakyat tempatan.

Ditanya sama ada Peter sudah menghubungi beliau secara peribadi bagi menyatakan hasrat itu, Hajiji berkata: “belum lagi.”

BBerkaitan

Latest articles