GPS Fokus 34 Teras Utama Dalam Manifesto PRN Sarawak

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) malam tadi melancarkan manifesto mengandungi 34 teras atau janji yang akan dilaksanakan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, 18 Disember ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak nekad bahawa gabungan itu akan terus komited melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.

Beliau berkata, 34 teras Manifesto GPS itu amat komprehensif, di samping memperjuangkan hak negeri, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

“GPS telah menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030,” kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dalam ucapannya di majlis pelancaran manifesto GPS, semalam.

Bertemakan “Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak”, manifesto berkenaan diserahkan Abang Johari kepada setiap pemimpin tertinggi parti-parti komponen GPS iaitu Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Joseph Salang Gandum; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif, Datuk Anthony Nogeh Gumbek.

Dalam usaha terus memajukan Sarawak, dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi serta pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar yang mampan, dipacu oleh data dan inovasi, GPS merancang pelbagai inisiatif yang terbaik ke arah itu.

Katanya, keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat, jelas membuktikan bahawa parti itu mempunyai jentera pentadbiran yang mantap dan berhemah serta sistem tadbir urus kewangan yang baik, telus dan beramanah.

Antara ‘janji’ GPS dalam manifestonya termasuk menjamin kestabilan dan autonomi politik Sarawak serta mempertahan dan membela hak-hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Undang-Undang Negeri Sarawak.

Selain itu, memperkukuhkan Mahkamah Adat Bumiputera; membantu dan mempercepatkan anak Sarawak yang layak mendapatkan kerakyatan; merapatkan jurang pendapatan rakyat melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

GPS turut bertekad menjamin hak kesaksamaan yang inklusif untuk semua rakyat Sarawak; mengiktiraf dan menjamin hak rakyat ke atas tanah Native Customary Right (NCR) dan Native Territorial Domain (NTD) serta menjadikan Sarawak Maju dan Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030.

Pada PRN12 ini, GPS bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan mengetengahkan 24 muka baharu.

BBerkaitan

Latest articles