PONTIAN: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membenarkan fasiliti sekolah digunakan untuk penganjuran jualan arak di sebuah sekolah di Pontian, Johor baru-baru ini.
Presiden GPMS, Fazreen Fauzi menegaskan walaupun tiada pelajar atau guru terlibat dalam acara tersebut, premis sekolah tetap zon amanah pendidikan yang tidak wajar dicemari aktiviti bertentangan dengan nilai moral dan sensitiviti agama.
“Sekolah tetap sekolah, tidak kira waktu atau siapa penganjur. Ia simbol pendidikan, moral dan pembentukan akhlak. Jualan atau lelongan arak dalam kawasan sekolah, walau tiada pelajar terlibat, tetap satu pengabaian tanggungjawab dan budaya yang jijik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, GPMS mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan siasatan segera dan menyemak semula prosedur kelulusan penggunaan premis sekolah oleh pihak luar.
“KPM perlu keluarkan garis panduan baharu agar kejadian memalukan ini tidak berulang. Premis sekolah bukan tempat sesuai untuk aktiviti melibatkan arak tanpa mengira waktu atau tujuan kerana ia beri mesej songsang dan mencalar kredibiliti institusi pendidikan.”
Fazreen turut menekankan bahawa tanggungjawab menjaga kesucian sekolah bukan hanya terhad pada waktu persekolahan atau dalam bilik darjah semata-mata, tetapi juga dari segi penggunaan fasiliti serta reputasi sekolah di mata masyarakat.
“Jika sekolah mula membenarkan aktiviti seperti ini, siapa yang akan pertahankan nilai murni generasi akan datang?” soalnya.
GPMS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal yang membabitkan maruah institusi pendidikan serta masa depan pelajar.
“Kami menyeru semua pihak, khususnya KPM agar segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian ini,” kata Fazreen lagi.
Kenyataan GPMS hadir susulan laporan tular mengenai penganjuran jualan arak yang diadakan di kawasan sebuah sekolah di Pontian, meskipun di luar waktu persekolahan dan tanpa kehadiran pelajar.