JOHOR BAHRU: Kerajaan kini membenarkan mereka yang tidak memiliki slip gaji untuk membuat pinjaman untuk membeli rumah masing-masing.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan menambah pinjaman golongan itu akan dijamin oleh kerajaan menerusi penubuhan anak syarikat Kementerian Kewangan iaitu Skim Jaminan Kredit Berhad (SJKP).
Inisiatif tersebut selaras dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu yang mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP.
“Pinjaman beli rumah adalah isu yang dihadapi di mana salah satu syaratnya adalah slip gaji dan sebagainya. Ramai yang bekerja sendiri tiada mempunyai slip gaji.
“Jadi dengan Skim Jaminan Kredit Berhad ini, mereka yang tidak mempunyai slip gaji pun boleh pohon pinjaman kerana ia akan dijamin kerajaan.
“Ini usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan kumpulan yang tidak mempunyai jawatan tetap dan sebagainya, boleh miliki rumah sendiri,” katanya ketika berucap di Penyampaian Surat Tawaran kepada bakal pembeli Residensi Larkin Indah, semalam.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi PR1MA Datuk Fathul Bari Mat Jahya.