Malaysia tetap tidak membenarkan budaya hidup songsang yang menyokong aktiviti golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, meskipun Mahkamah Persekutuan membenarkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dicabar, namun ia tidak bermakna mereka bebas mengamalkan ‘gaya hidup’ mereka.
“Saya harap tiada sebarang berita gembira buat pejuang-pejuang LGBT.
“Kalian memilih untuk tidak dihukum dan dikenakan tindakan Mahkamah Syariah, tetapi kalian memilih dikenakan hukuman dan disabitkan kesalahan di bawah Sekysen 377.
“Seksyen 377 memberi gambaran jelas bahawa LGBT tidak diberikan ruang untuk bebas dengan aktiviti-aktiviti mereka di dalam negara kita,” katanya pada sidang media di luar Balai Polis Seksyen 6, semalam, selepas beliau dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa membuat pertuduhan baharu terhadap Iki Putra Mubarak di Mahkamah Sivil, Selangor.
Laporan polis itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu yang mengenepikan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.
Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Iki Putra telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.
Mengulas lanjut, Hanafi berkata pihaknya pelik dengan tindakan Iki Putra yang mencabar pertuduhan di Mahkamah Syariah dan memilih pendakwaan di Mahkamah Sivil yang jauh lebih berat hukumannya jika sabit kesalahan.
“Kenapa Iki Putra memilih untuk mendapatkan satu hukuman yang lebih berat, itu menjadi kepelikan.
“Seksyen 377 Kanun Keseksaan memperuntukkan 20 tahun penjara, berbanding Seksyen 28, Enakmen Syariah yang memperuntukkan tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam kali sebatan,” jelasnya.
Bagaimanapun Hanafi tidak menolak kemungkinan keputusan Mahkamah Persekutuan itu boleh membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah pada masa akan datang.
“Satu ketika nanti ia akan membuka pintu-pintu untuk mahkamah sivil membatalkan beberapa keputusan kes mahkamah syariah.
“Ini kerana kita sedia maklum Enakmen Jenayah Syariah di 14 negeri ini berbeza-beza peruntukan yang diluluskan,” katanya.
Katanya lagi, keputusan itu juga membuktikan umat Islam gagal untuk menambahbaikkan Akta 355 yang sedia ada di dalam negara ini.
“Sebab itu kita mohon semua institusi mainkan peranan berganding bahu secara kolektif daripada NGO, badan peguam Syarie dan penggubal undang-undang dalam negara kita untuk mencari satu titik pertemuan.
“Ia bagi menjadikan kes ini sebagai kes yang perlu perhatian tampuk kepimpinan negara kita dan pemimpin Melayu Islam,” katanya lagi.