GLC, Kerajaan Perlu Bayar Pelatih Industri RM800

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan membayar elaun perantisan kepada pelatih industri sebanyak RM800 sebulan.

Ini selepas beliau mendengar cadangan daripada pelajar tingkatan enam.

Menurut Anwar, walaupun kerajaan perlu mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar ekonomi namun cadangan yang diterima daripada pelajar tingkatan enam adalah baik dan mesti diperhalusi.

“Jadi, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun perantisan RM800 sebulan untuk semua intern (pelatih).

“Cadangan ini diberikan kepada saya oleh pelajar tingkatan enam. Walaupun, kita perlu input daripada pakar-pakar ekonomi tapi, kadang-kadang pelajar tingkatan enam beri cadangan yang baik dan kita mesti perhalusi,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Hadir sama pada majlis, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan menetapkan secara dasar supaya semua syarikat GLC yang mengambil pelajar yang menjalani praktikal latihan industri dapat melaksanakan perkara itu.

Katanya, ia bagi meringankan beban pelajar praktikal berkenaan yang terpaksa bergantung perbelanjaan daripada ibu bapa.

“Internship ini mereka dah graduate (graduan), tapi tak dibayar, kalau dibayar pun kecil sahaja.

“Jadi, untuk permulaan, internship ini memang tiada bayaran, itu betul..ini untuk exposure (pendedahan)…tapi, kalau mereka datang dari keluarga miskin, dalam beberapa dialog saya di universiti.

“Mereka merayu, sudahlah habis belajar, kemudian tiada pinjaman dan bantuan serta PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Jadi, mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles