GLC, GLIC Salur Sumbangan, Pengecualian Kepada Usahawan SME Bank

 

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara hari ini bersetuju untuk menyalurkan beberapa lagi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir menerusi beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setiap syarikat berkaitan kerajaan itu bersetuju menyalurkan RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

Antara yang menyumbang adalah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bukan itu sahaja, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional. Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000.

“Untuk membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Pembiayaan ini adalah tanpa faedah/keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas enam bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani,” katanya.

Dalam pada itu kerajaan turut bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa (rental waiver) kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan yang diumumkan semalam bagi menyalurkan bantuan berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak.

“Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak,” katanya.

Malah, Kementerian Alam Sekitar dan Air  untuk menggerakkan 20 aset pam mudah alih bagi mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang.

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa kerajaan mahu isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana, termasuk menghantar aset-aset menyelamat.

“Sehingga petang ini sebanyak 41 bot, 16 lori juga aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang,” kata Ismail Sabri lagi.

BBerkaitan

Latest articles