Gissco Rai Jubli Emas, Lancar Identiti Korporat Baharu, Anugerah Kesetiaan

KUALA LUMPUR: Gissco Sdn Bhd, syarikat Bumiputera pertama berlesen PETRONAS dalam sektor minyak dan gas, meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan majlis Gissco 50th Anniversary Gala Dinner di Hotel W Kuala Lumpur malam tadi.

Acara bersejarah itu bukan sahaja memperingati lima dekad kepimpinan syarikat dalam industri tenaga negara, malah menyaksikan pelancaran logo korporat baharu serta penganugerahan Anugerah Jasa Setia kepada warga kerja yang setia bersama syarikat lebih sedekad.

Logo korporat baharu yang dilancarkan malam ini menampilkan bentuk bujur dengan gradasi emas berkilau, melambangkan kesinambungan, kestabilan dan kejayaan “Golden Legacy” Gissco.

Tipografi moden dengan potongan geometri pula menekankan komitmen syarikat terhadap inovasi serta transformasi digital, manakala tulisan “Since 1975” mengukuhkan warisan Gissco sebagai perintis industri minyak dan gas tempatan.

Sebanyak 11 kakitangan diraikan menerusi Anugerah Jasa Setia, antaranya Mahyudin Mohamad (29 tahun perkhidmatan), Zukifkli Musa (28 tahun), dan Marina Hasan (25 tahun), selain beberapa nama lain yang telah menyumbang lebih sedekad tenaga dan kepakaran mereka.

Pengarah Urusan Gissco, Mohd Khoirul Kamal Rashid berkata kejayaan syarikat tidak mungkin dicapai tanpa dedikasi luar biasa warga kerjanya.

“Kesetiaan mereka bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan korporat, malah turut memperkukuh ekonomi negara melalui kecemerlangan berterusan dalam sektor minyak dan gas,” katanya.

Majlis turut menyingkap sejarah penubuhan Gissco oleh Allahyarham Tuan Haji Mohammad Rashid, anak jati Miri, Sarawak, yang mencatat sejarah sebagai Bumiputera pertama menubuhkan syarikat minyak dan gas di Malaysia pada tahun 1975.

Bermula dengan perkhidmatan katering, Gissco kemudian mengembangkan operasi ke bidang pembekalan tenaga kerja dan perkhidmatan khusus termasuk slickline pada 1989 yang menjadi asas kepada reputasi kukuh syarikat dalam industri tenaga negara.

Sambutan Jubli Emas ini menurut Gissco, bukan sekadar mengenang pencapaian lalu, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju sektor minyak dan gas Bumiputera, selain meneruskan agenda inovasi dan pembangunan tenaga kerja tempatan.

BBerkaitan

Latest articles