KUALA LUMPUR: Seorang penjaja wanita didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah menggigit penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika operasi di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman berkata wanita tempatan berusia 30 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
“Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan dia mengaku bersalah sebelum dijatuhi denda RM3,000 oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, katanya kertas siasatan membabitkan tiga suspek lelaki tempatan berusia 15 hingga 39 tahun dalam satu lagi kes menghalang petugas DBKL akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.
Sebelum ini, media melaporkan penguat kuasa DBKL cedera diserang penjaja tidak berlesen dalam dua kes berasingan Rabu lalu.
Empat individu ditahan selepas dua laporan polis dibuat susulan serangan yang mendatangkan kecederaan kepada penguat kuasa DBKL.
Dalam video tular berdurasi 30 saat itu menunjukkan seorang penjaja wanita menjerit dan meronta-ronta ketika tiga penguat kuasa wanita cuba menenangkannya dalam operasi di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas DBKL cuba menyita kenderaan wanita terbabit.