Gesa Hormati Proses Hanya Musim Tertentu Sahaja, ADUN Pas Kecam Bersatu

Dungun: ADUN Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, meluahkan rasa kecewa terhadap pihak tertentu yang mendesak Pas menghormati keputusan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam pelantikan pengerusi baharu gabungan itu.

Beliau, yang juga Ketua Pemuda Pas Dungun, menegaskan bahawa sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan sebagai calon Perdana Menteri, tiada rundingan atau mesyuarat diadakan dengan Pas.

Semua keputusan dibuat secara sehala, dan Pas hanya diminta akur.

“Sekarang, bila kedudukan goyah dan sokongan tak lagi solid, tiba-tiba muncul istilah manis ‘hormati proses dalaman’. Rupanya, hormat proses itu musim tertentu sahaja. Kalau keputusan memihak, Pas tak perlu ditanya. Kalau tak memihak, barulah Pas dicari,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham, menyeru agar semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan sendiri sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) menentukan keputusan akhir, termasuk mengenai peletakan jawatan bekas pengerusi gabungan, Muhyiddin.

Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin menegaskan bahawa isu ini bukan hanya soal maruah Pas, tetapi keikhlasan dalam pakatan.

Menurutnya, PN bukan milik satu parti atau satu keluarga politik sahaja, dan keputusan tidak sepatutnya dibuat mengikut selera semata-mata.

“Kalau benar mahu hormat rakan, hormatilah dari awal. Bukan bila terdesak. Rakyat sedang memerhati, dan hipokrasi politik biasanya tidak bertahan lama,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles