Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa gergasi teknologi semikonduktor, Arm, akan membuka ibu pejabat pertamanya di ASEAN yang berpusat di Kuala Lumpur. Pejabat ini akan menjadi pusat operasi utama bagi pasaran Asia Tenggara, Australia, dan New Zealand, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri teknologi global.
Menurut Anwar, langkah ini adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm dalam industri semikonduktor, yang menandakan perubahan besar dalam hala tuju negara ke arah menjadi pemimpin dalam pembangunan dan pengeluaran cip berteknologi tinggi.
“Hari ini, kita bukan sekadar merintis pembangunan cip AI buatan Malaysia, tetapi juga memastikan setiap aspek – daripada reka bentuk hingga pemasangan dan pengujian – dilakukan sepenuhnya di negara ini sebelum dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya semasa majlis pelancaran Kerjasama Strategik Malaysia – Peneraju Global Semikonduktor bagi Pembangunan Cip AI di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.
Tambah Anwar lagi, Inisiatif ini menandakan perubahan fundamental dalam pendekatan negara terhadap industri teknologi tinggi, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam reka bentuk dan pengeluaran cip semikonduktor berteknologi tinggi.
“Melalui kerjasama menyeluruh dengan ARM, kita merangka satu pelan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah disaksikan Malaysia, untuk menerajui pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) “Made by Malaysia.”
“Cip ini akan direka bentuk, dibuat, diuji, dan dipasang di sini sebelum dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Turut hadir Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Rene Haas.
Tambahnya Kerjasama dengan Arm ini melibatkan tiga komponen utama iaitu program latihan komprehensif untuk melahirkan 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) bagi memperkukuh tenaga kerja industri semikonduktor negara.
Katanya syarikat-syarikat Malaysia yang terpilih akan mendapat akses eksklusif kepada teknologi dan hak milik intelek (IP) Arm. Ketiga, pembangunan produk semikonduktor yang direka secara tempatan akan dipercepatkan bagi memenuhi keperluan pasaran global.
Tambah Anwar lagi, Beliau turut mengiktiraf usaha pelbagai kementerian dalam merealisasikan kerjasama ini, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Kewangan (MOF), serta Kementerian Ekonomi.
“Hari ini adalah detik bersejarah di mana Malaysia secara rasmi memulakan gelombang kedua industri semikonduktor. Kita bukan sahaja mencipta nilai tambah kepada ekonomi tempatan, tetapi juga meletakkan negara sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global,” tambahnya.