Geramm Pandang Serius Tindakan Menteri Ugut, Hina Wartawan Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan seorang menteri kerajaan Madani yang didakwa mengeluarkan ugutan dan kata-kata menghina terhadap wartawan Utusan Malaysia ketika wartawan tersebut sedang menjalankan tugas, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Geramm menegaskan bahawa insiden sedemikian amat serius dan mencerminkan sikap tidak beradab terhadap peranan media dalam sistem demokrasi negara.

“Wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya — terutama kepada ahli politik dan penjawat awam — bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam,” kata kenyataan itu.

Menurut Geramm, soalan wartawan tidak sepatutnya dianggap sebagai serangan peribadi kerana ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam demokrasi.

“Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu, dan bukan untuk memalukan mana-mana pihak. Oleh itu, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima, apatah lagi jika datang daripada seorang menteri,” tegasnya.

Geramm turut mengingatkan bahawa kebebasan media bukan ancaman kepada pentadbiran, sebaliknya menjadi asas kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan.

“Sikap menghina atau mengugut wartawan memberi isyarat buruk kepada masyarakat dan mencipta suasana takut di kalangan pengamal media, yang akhirnya menghakis keberanian untuk bertanya perkara yang benar-benar penting,” jelas kenyataan itu lagi.

Organisasi itu turut menyeru semua pemimpin politik dan penjawat awam agar mengamalkan budaya menghormati media dan menjawab pertanyaan secara terbuka serta profesional.

“Jika ada ketidakpuasan terhadap cara soalan dikemukakan, ia boleh dijawab dengan hujah atau penjelasan — bukan dengan ugutan, herdikan atau penghinaan,” kata Geramm.

Geramm menutup kenyataan dengan peringatan bahawa kebebasan media adalah tunjang kepada masyarakat demokratik:

“Apabila seorang wartawan dihina atau diugut kerana bertanya, mesej yang dihantar ialah bahawa soalan kini dianggap salah. Sedangkan bertanya adalah tugas utama wartawan, dan apabila tugas itu disekat, seluruh masyarakat yang akan rugi.”

“Wartawan bertanya bukan kerana mahu mencari salah, tetapi kerana rakyat berhak tahu.”

BBerkaitan

Latest articles