Bukan sahaja bercakap dengan kata-kata yang kesat dan tidak menghormati pemimpin, bahkan ahli Bersatu ini juga turut membakar baju bewarna merah parti berkenaan.
Dipercayai individu itu merupakan ahli Bersatu Kedah memandangkan turut menyebut nama ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad yang juga merupakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah.
Lelaki itu juga turut mendakwa dirinya sebagai ahli Bersatu Blackout.
“Kirim salam PPBM Muhyiddin.
“Kami PPBM Blackout. Kirim salam juga kepada ADUN Bukit Kayu Hitam. Kepala b*** bapak kau nak buat pemilihan. Tak payah buang, aku dengan sendiri keluar,” kata lelaki itu dalam video berdurasi 45 saat itu.
Sabtu lalu, satu program Bersatu Blackout diadakan di Alor Setar, Kedah, sebagai satu kempen terhadap penyokong dan ahli-ahli Bersatu yang memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain bekas pengerusi Bersatu, hadir sama ke program itu adalah anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas setiausaha agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.
Krisis Bersatu mula tercetus apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan untuk terus kekal bersama Pakatan Harapan (PH), dan mereka menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, MCA, MIC dan beberapa parti lain dan membentuk kerajaan persekutuan.
Dr Mahathir dan lima yang lain digugurkan keahlian parti berikutan duduk di barisan pembangkang pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung Mei lalu.
Protes itu dimulakan oleh sebuah akaun Facebook Bersatu.TV yang mempunyai lebih 17,000 pengikut dengan dikatakan mendapat persetujuan Tun Mahathir.
Kempen tersebut juga disertakan tanda pagar (tagar) #bersatublackout #kekalberprinsip #selamatkanbersatu.
Masih tidak diketahui apakah motif disebalik tindakan lelaki berkenaan yang membakar baju parti dan mengeluarkan kata-kata kesat.