Gencatan Senjata: “Jadi untuk apa mahu boikot lagi Starbucks?” – Vincent

KUALA LUMPUR: Pengumuman gencatan senjata di Gaza disambut dengan harapan baru oleh Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun sambil memberi bayangan Starbucks Malaysia akan kembali diterima masyarakat negara ini.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata seiring dengan pengumuman itu, sudah pasti tidak lagi ada keperluan untuk pengguna memboikot jenama Starbucks, sedangkan ia adalah syarikat milik negara ini.

“Sekarang sudah ada berita genjatan senjata di Gaza, ini memang satu berita bagus buat semua. Gaza akan aman kembali, itu yang kita semua mahu.

“Jadi untuk apa mahu boikot lagi Starbucks? Tidak ada keperluan lagi.

“Genjatan senjata ini memang satu berita yang baik,” katanya kepada sekumpulan media selepas majlis serah sumbangan kepada majlis sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada penduduk setempat warga TiongHua, sekolah dan warga emas di SJK(C) Hwa Lien, hari ini.

Sebelum ini, Vincent mengakui jualan Starbucks Malaysia merudum akibat Langkah boikot masyarakat negara ini susulan perang di Gaza.

Bagaimanapun Vincent menegaskan tindakan memboikot Starbucks hanya akan merugikan rakyat Malaysia malah beliau pernah mendedahkan hampir 85 peratus pekerja kopi berjenama itu sebenarnya dalam kalangan muslim di negara ini.

Tahun lalu, bagi suku kedua tahun kewangan 2024, Berjaya Food Bhd melaporkan penurunan pendapatan suku-ke-suku tahun sebanyak 35 peratus kepada RM183 dan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti kira-kira RM42 juta.

Dalam pada itu, Vincent turut disoal pandangannya mengenai kemunculan pelbagai jenama kopi di negara ini.

Beliau melihat ia satu perkembangan positif kerana persaingan dalam perniagaan bagi memastikan mutu serta kualitinya sentiasa terjamin pada setiap masa.

“Ingat ya, apa jua perniagaan pastinya ada banyak persaingan. Pada saya, ia positif dan tidak banyak yang perlu saya risaukan.

“Kita juga ada beberapa strategi bagi memastikan jenama ini terus menjadi pilihan utama tetapi pastinya ini ‘rahsia’, tidak boleh kita dedah begitu sahaja.

“Ini strategi sulit kita, tidak boleh diumumkan secara terbuka,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles