Gelombang anak muda kembali bersama BN – Dr Akmal

TAWAU: Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menyifatkan sokongan anak muda terhadap Barisan Nasional (BN) di Sabah kini semakin kuat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, sambutan luar biasa golongan muda dalam setiap program BN menunjukkan perubahan positif dan menandakan kebangkitan semula semangat anak muda bersama parti itu.

“Hari ini kita lihat sendiri anak-anak muda Sabah berani keluar, memakai baju BN dan membawa bendera BN dengan penuh semangat.

“Ini menolak tohmahan kononnya orang muda sudah tidak bersama BN,” katanya ketika ditemui selepas program Santai Anak Muda Bersama Dr Akmal Saleh di Tawau, semalam.

Dr Akmal berkata, barisan kepimpinan baharu BN yang lebih segar dan berjiwa muda berjaya menarik perhatian generasi baharu untuk kembali memberi kepercayaan kepada parti itu.

“Kepimpinan baharu ini membawa semangat dan harapan baharu untuk Sabah, terutama bagi anak muda yang mahu melihat perubahan sebenar,” katanya.

Menurutnya, BN turut memberi ruang besar kepada calon muda untuk diketengahkan pada PRN Sabah kali ini, selaras dengan semangat pembaharuan parti.

“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, antara 70 hingga 80 peratus calon BN nanti ialah muka baharu berusia bawah 40 tahun.

“Ini bukti BN benar-benar serius mahu memberikan peluang kepada generasi muda untuk memimpin,” katanya.

Mengulas mengenai peluang BN di kawasan Parlimen Tawau, Dr Akmal optimis bahawa parti itu mampu merampas semula semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, akan ada calon muda diketengahkan di Tawau. Kita yakin dengan gelombang kebangkitan anak muda yang semakin kuat, BN mampu mencipta kejayaan besar kali ini,” katanya.

Beliau berkata, sambutan luar biasa anak muda sepanjang siri jelajah BN di beberapa daerah termasuk Kinabatangan, Kunak dan Tawau jelas menunjukkan keyakinan terhadap parti itu semakin meningkat.

“Semalam di Kinabatangan penuh orang muda, pagi tadi di Kunak pun sama, dan petang ini di Tawau saya tidak sangka begitu ramai hadir.

Mereka bukan sekadar datang menaiki motosikal, tetapi datang dengan semangat dan bangga memakai baju BN,” katanya.

Dr Akmal menegaskan BN akan terus konsisten membawa suara anak muda dan rakyat tanpa rasa takut.
“Kita mahu anak muda percaya bahawa BN kini parti yang segar, berprinsip dan sedia memimpin semula Sabah ke arah masa depan lebih baik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles