KUALA LUMPUR: Pakar Pengurusan Jenayah (Bahagian Wanita) Penjara Narathiwat, Ponata Yononarongdetkul memaklumkan seramai tujuh banduan wanita warga Malaysia ditahan di penjara itu didapati terlibat kesalahan berkaitan dadah.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah seperti memasukkan dadah dalam badan, memiliki dadah atau menjadi ‘keldai dadah’ bagi sindiket pengedaran bahan terlarang itu.
Menurut Ponata, kebanyakan mereka ‘gelap mata’ dengan tawaran kemewahan dan ganjaran lumayan sehingga diperdaya dengan pelbagai cara tanpa menyedari kesilapan dilakukan.
“Hampir semua wanita ini masih muda, berusia dalam lingkungan 20-an. Kita berasa kasihan kerana akibat kesilapan itu, mereka akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara.
“Kami juga ingin menasihati golongan wanita tidak mudah terperdaya dengan habuan dan gaya hidup mewah ditawarkan individu tertentu kerana kemungkinan besar ia adalah taktik sindiket dadah,” katanya menerusi penterjemah tempatan dalam lawatan khas media Malaysia di Penjara Wilayah Narathiwat, baru-baru ini.
Ponata berkata, ketika ini terdapat 454 banduan wanita di penjara berkenaan termasuk tujuh wanita dari Malaysia.
Beliau berkata, walaupun berasal dari negara berbeza, semua banduan menerima layanan sama rata kerana pengurusan penjara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa.
“Di Penjara Wilayah Narathiwat, lebih 80% banduan beragama Islam dan mereka dibenarkan melaksanakan amalan keagamaan masing-masing tanpa sebarang sekatan,” katanya.
Sementara itu, seorang banduan dikenali Ana, 26, dari Tumpat berkata dia ditahan bersama teman lelakinya di sebuah hotel di Sungai Golok, dua tahun lalu kerana kesalahan memiliki dadah.
Menurut Ana, dia yang tidak mengetahui teman lelakinya membawa pil kuda bersama dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah.
“Saya menyesal kerana terlalu mempercayai teman lelaki tanpa menyedari risiko bakal dihadapi. Kini, saya terpaksa menjalani hukuman ini sebagai pengajaran,” katanya. – BERNAMA