Gara-gara Kecewa Cinta Ditolak Punca Suspek Tikam Pelajar Tingkatan Empat

PETALING JAYA: Insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama yang mengorbankan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat pagi tadi dipercayai berpunca daripada rasa cinta ditolak, menurut rakan sekolah yang menjadi saksi kejadian.

Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu dikatakan meluahkan perasaannya kepada mangsa malam sebelum kejadian, namun mangsa tidak membalas perasaan tersebut.

“Kami diberitahu suspek luah perasaan kepada mangsa, tapi ditolak. Dia marah dan bertindak keesokan harinya,” kata seorang pelajar yang enggan namanya didedahkan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 16 tahun maut selepas ditikam berkali-kali oleh suspek kira-kira jam 9.10 pagi di kawasan tandas perempuan sekolah.

Menurut saksi, suspek membawa senjata tajam dan memerangkap mangsa di dalam tandas sebelum menyerang.

“Dia tahan mangsa dalam tandas dan terus tikam berkali-kali,” katanya.

Seorang rakan mangsa yang terdengar jeritan segera mendapatkan guru disiplin untuk meminta bantuan.

“Guru bergegas ke tandas dan cuba tendang pintu. Selepas beberapa kali cuba, pintu berjaya dipecahkan,” katanya.

Namun ketika itu, suspek sudah melarikan diri dan bertindak lebih agresif.

Situasi bertukar panik apabila suspek mengejar pelajar lain sambil memegang pisau berlumuran darah.

“Dia masuk beberapa kelas Tingkatan Satu. Semua orang menjerit dan lari keluar. Bajunya penuh darah,” ujar saksi.

Kekecohan hanya berakhir apabila abang suspek bersama beberapa guru berjaya menahannya.

“Abangnya bergelut dan rampas pisau. Guru cuba tenangkan dia,” kata saksi itu.

Polis sebelum ini mengesahkan suspek ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

BBerkaitan

Latest articles