KUALA LUMPUR – Penganalisis ekonomi , Saiful Bahari Baharom, menyifatkan langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 daripada RM1,500 sebagai keputusan tepat dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Beliau menjelaskan bahawa secara teori, kenaikan gaji minimum memberi impak besar kepada ekonomi secara keseluruhan.
“Jika kita lihat struktur gaji, CEO hanya seorang, tetapi pekerja biasa jauh lebih ramai. Jika gaji CEO digandakan sekalipun, kesannya kepada ekonomi tidak besar. Namun, jika gaji pekerja biasa dinaikkan sedikit sahaja, impaknya lebih meluas kerana jumlah mereka yang ramai.
“Langkah ini akan meningkatkan kitaran ekonomi setempat kerana lebihan pendapatan pekerja boleh dibelanjakan. Namun, ia bukan penyelesaian mutlak kepada masalah ekonomi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 ini akan memberikan kesan langsung kepada perbelanjaan pengguna dan seterusnya kepada kitaran ekonomi.
PERTIMBANGAN SEBELUM PENYELARASAN GAJI
Menurut Saiful, setiap kerajaan sebelum ini turut meneliti penyelarasan gaji tetapi perlu mempertimbangkan kemampuan negara dan indikator ekonomi tertentu sebelum membuat keputusan.
“Gaji tidak boleh dinaikkan sesuka hati, seperti kenaikan sebelum ini kepada RM1,500. Kerajaan membuat kiraan berdasarkan jumlah kenaikan, tempoh pelaksanaan, dan kesannya terhadap ekonomi.
“Sebagai contoh, jika tahun ini gaji naik RM200, mungkin tahun depan boleh dinaikkan lagi RM200. Kenaikan perlu dilakukan secara berperingkat dan bukannya berdasarkan keputusan spontan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini bukan hanya keputusan popular tetapi satu keputusan yang dibuat berdasarkan kajian mendalam oleh kerajaan.
GAJI PEKERJA PERTENGAHAN PERLU DIBERI PERHATIAN
Dalam pada itu, Saiful turut menekankan kepentingan penyelarasan gaji bagi pekerja di peringkat pertengahan yang juga perlu diberi perhatian.
“Kita menaikkan gaji minimum yang merupakan lantai atau ‘floor price’. Namun, golongan pertengahan juga patut diberi kenaikan.
“Secara teori, apabila gaji pekerja bawahan naik, gaji di peringkat atas juga sepatutnya meningkat. Saya berpendapat gaji perlu dibahagikan kepada tiga peringkat – tingkat pertama naik 10%, kedua naik 10%, dan ketiga naik 15%. Atau mungkin 5%, 10%, 15%. Dengan ini, semua lapisan pekerja mendapat manfaat, bukan hanya golongan bawah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesan kenaikan gaji ini kepada ekonomi perlu dipantau, terutamanya dalam subsektor seperti perkhidmatan, makanan, dan barangan, yang memberi kesan langsung kepada golongan B40 dan B20.
“Golongan ini mempunyai pendapatan terendah, dan secara teori, kenaikan gaji meningkatkan daya beli rakyat. Namun, kesannya kepada majikan juga perlu diteliti,” katanya.
KESAN TERHADAP MAJIKAN DAN AUTOMASI
Saiful turut mengingatkan bahawa kenaikan gaji minimum mungkin menyebabkan majikan mengubah strategi perniagaan mereka bagi mengekalkan aliran tunai.
“Jika gaji pekerja naik RM500, majikan mungkin terpaksa mengurangkan jumlah pekerja bagi menyeimbangkan kos.
“Mereka juga mungkin beralih kepada automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia. Ini akan mengubah landskap ekonomi secara beransur-ansur,” ujarnya.
Beliau memberikan contoh bagaimana perniagaan tradisional seperti kuih bahulu mungkin perlu beralih kepada penggunaan mesin bagi meningkatkan pengeluaran secara lebih efisien. Akibatnya, pekerja perlu mengadaptasi perubahan ini dengan mempelajari teknologi baharu.
FAKTOR PENAWARAN DAN PERMINTAAN
Menurut Saiful, faktor penawaran dan permintaan juga memainkan peranan dalam menentukan gaji pekerja.
“Jika terdapat lebihan graduan dalam satu bidang, gaji mereka mungkin tidak meningkat dengan ketara kerana majikan mempunyai banyak pilihan calon yang sanggup menerima gaji lebih rendah.
“Sebaliknya, jika hanya terdapat sedikit graduan dalam sesuatu bidang, mereka boleh menuntut gaji lebih tinggi kerana majikan kekurangan pilihan,” jelasnya.
CABARAN PENGUATKUASAAN
Dalam aspek penguatkuasaan, beliau menegaskan bahawa ia bukan tugas mudah kerana terdapat majikan yang sanggup mengambil risiko tidak membayar gaji minimum yang ditetapkan.
“Secara teori, majikan yang tidak mematuhi gaji minimum perlu membayar penalti. Namun, dari segi realiti, ada majikan yang mengambil risiko ini kerana jumlah pekerja yang ramai dan kos penguatkuasaan yang tinggi di pihak kerajaan.
“Masalah ini bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia,” katanya.
EKONOMI MALAYSIA HARI INI
Saya melihat ekonomi Malaysia berada dalam keadaan sihat berdasarkan indikator seperti pertumbuhan KDNK, kadar inflasi dan aliran wang dalam sistem perbankan.
Namun, saya perhatikan bahawa dasar ekonomi yang dilaksanakan sekarang lebih konservatif dan tidak cukup inovatif. Kita masih menggunakan model ekonomi lama tanpa melakukan pembaharuan besar yang boleh memberi impak besar kepada rakyat.
Contohnya, dalam industri pembinaan, kita masih menggunakan kaedah lama yang tidak efisien. Di negara maju seperti Amerika Syarikat, rumah boleh dibina dalam masa 15 hari dengan teknologi moden. Tetapi di Malaysia, industri pembinaan enggan berubah dan masih di tahap yang lama
Begitu juga dengan industri makanan. Harga ikan yang dibeli di kampung boleh meningkat sehingga lima kali ganda di bandar kerana rantaian pembekalan yang tidak efisien katanya