Gaji Di KL Naik Sedikit, Hanya RM17 Atau 0.6 Peratus

Pada tahun 2020, negara-negara di seluruh dunia temasuk Malaysia telah dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 yang begitu dahsyat. Dalam masa beberapa bulan sahaja, wabak ini telah menjangkiti dan meragut jutaan nyawa, sehinggakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa mengisytiharkan wabak ini sebagai sebuah pandemik.

Ini bukanlah pertama kali dunia diuji dengan sebuah krisis pada skala yang amat besar. Namun begitu, apa yang membezakan krisis ini berbanding krisis-krisis yang terdahulu ialah pandemik COVID-19 ternyata telah meninggalkan impak negatif yang begitu mendalam bukan sahaja terhadap sektor kesihatan, tetapi juga sektor ekonomi.

Antara komponen penting yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 ialah pasaran buruh. Di Malaysia, kadar pengangguran telah meningkat kepada 4.5% pada tahun 2020, angka tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh hampir 30 tahun yang lepas.

Akibatnya, bilangan penganggur telah bertambah sebanyak 39.9% kepada seramai 711.0 ribu orang pada tahun yang sama.

Keganasan yang dicetuskan pandemik COVID-19 juga dapat dilihat apabila ramai pekerja terpaksa dipotong gaji dan dikurangkan jumlah waktu bekerja demi mengurangkan kos.

Impak COVID-19 terhadap pasaran buruh telah menimbulkan kegusaran yang besar, lebih-lebih lagi apabila pasaran buruh amat berkait rapat dengan soal keberlangsungan hidup seseorang individu, mahupun sesebuah isi rumah.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan sejumlah orang ramai terjerumus ke dalam fenomena ‘miskin baru’ (new poor), sebahagian besarnya berpunca daripada gangguan yang melanda pasaran buruh negara.

Walaubagaimanapun, Malaysia mula memasuki fasa pemulihan ekonomi pada tahun 2021. Kelonggaran SOP yang telah diumumkan kerajaan telah memberikan ruang buat sektor ekonomi untuk menyambung operasi mereka secara perlahan-lahan.

Pembukaan ekonomi ini juga turut menyumbang kepada pemulihan pasaran buruh negara.

Walaupun kebanyakan sektor ekonomi telah mula dibuka semula pada tahun 2021, secara amnya pasaran buruh negara masih dibelenggu oleh impak negatif yang ditinggalkan oleh pandemik COVID-19.

Kadar pengangguran meningkat daripada 4.5% (2020) kepada 4.6% (2021), serta jumlah penganggur daripada 711.0 ribu orang (2020) kepada 733.0 ribu orang (2021).

Apa yang menarik untuk dianalisis ialah pasaran buruh yang bersifat dinamik terhadap iklim perubahan ekonomi. Hal ini kerana komponen-komponen pasaran buruh tidak terhenti pada angka kadar pengangguran dan jumlah penganggur semata-mata.

Maka, analisis terhadap aspek penggajian dan upah adalah penting untuk menilai sejauh manakah pasaran buruh Malaysia berjaya pulih semasa tempoh pasca pandemik COVID-19 pada tahun 2021.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Survei Gaji dan Upah 2021. Terdapat beberapa perkara menarik yang boleh dianalisis daripada laporan tersebut.

Secara keseluruhannya, bilangan penerima gaji telah meningkat sebanyak 3.4% kepada 9.7 juta orang berbanding tahun 2020 (9.4 juta orang). Peningkatan ini mencerminkan pemulihan pasaran buruh yang positif apabila semakin ramai individu yang menerima gaji pada tahun 2021.

Semakin ramai individu memperolehi gaji di dalam sesebuah ekonomi merupakan sebuah petunjuk bahawa ekonomi negara sedang bergerak dengan baik ke arah pemulihan.

Gaji yang diterima tersebut bakal memanfaatkan negara menerusi perbelanjaan dan pelaburan yang dilakukan.

Daripada segi jumlah yang diperolehi turut menunjukkan perkembangan yang positif apabila penengah gaji bulanan telah meningkat 9.1% kepada RM2,250 berbanding tahun sebelumnya (2020: -15.6%; RM2,062).

Namun begitu, harus diingatkan bahawa angka tersebut masih berada di bawah paras pra-pandemik COVID-19 (2019: RM2,442).

Gaji meningkat, namun masih rendah berbanding gaji sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Perbandingan antara etnik mendapati kesemua etnik menunjukkan peningkatan penengah gaji, kecuali etnik India.

Peningkatan terbesar direkodkan oleh etnik Lain-lain, sebanyak 12.0% kepada RM1,582.

Seterusnya, etnik Cina menunjukkan peningkatan penengah gaji sebanyak 10.7% kepada RM2,734.

Bagi etnik Bumiputera, penengah gaji telah meningkat sebanyak 5.3%, daripada RM2,019 pada tahun 2020 kepada RM2,127 pada tahun 2021.

Hanya etnik India sahaja yang menunjukkan penurunan, sebanyak 4.2% kepada RM1,930 (2020: RM2,014).

Perbandingan merentas negeri-negeri di Malaysia mendapati enam negeri dan wilayah mencatatkan purata gaji melebihi peringkat nasional (RM2,250).

Negeri-negeri tersebut ialah W.P. Putrajaya (RM4,504), W.P. Kuala Lumpur (RM4,013), Selangor (RM3,543), W.P. Labuan (RM3,268), Pulau Pinang (RM3,080) dan Negeri Sembilan (RM3,045).

Kesemua negeri turut mencatatkan peningkatan positif bagi penengah gaji untuk tahun 2021. Peningkatan terbesar direkodkan oleh negeri Sarawak dengan peningkatan sebanyak RM466 (29.3%) kepada RM2,059 (2020: RM1,593).

Manakala, W.P. Kuala Lumpur merekodkan peningkatan terendah, apabila naik sebanyak RM17 (0.6%) sahaja kepada RM3,054.

Disebalik peningkatan gaji yang direkodkan, timbul persoalan berkaitan sejauh manakah peningkatan tersebut berjaya merawat isu-isu struktur yang telah wujud sejak sekian lama di dalam pasaran buruh negara.

Antara isu-isu struktur berkaitan aspek penggajian dan upah yang dihadapi pasaran buruh Malaysia termasuklah pertumbuhan gaji yang rendah dan perlahan, ketidaksamarataan bayaran gaji di antara jantina, jurang gaji yang begitu ketara di antara bandar dan luar bandar.

Persoalan turut timbul melibatkan ‘Apakah jaminan bahawa peningkatan gaji ini tidak dilenyapkan oleh kenaikan kadar inflasi di Malaysia?’. – Ekonomi Malaysia

Latest articles

Related articles

spot_img