Gagal Rayuan, Najib Ke Penjara Hari Ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

BH melaporkan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama panel lima hakim sebulat suara membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

“Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini.

Menurut Tengku Maimun, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

BBerkaitan

Latest articles