Gagal Kemuka Bukti Kaitan Dengan Chin Peng, Akhirnya MP Kepala Batas Kena Saman

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengemukakan tindakan saman terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad selepas gagal membuktikan kaitan persaudaraan dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew dalam tempoh 48 jam.

Ujar Guan Eng, tindakan itu diambil selepas Siti Mastura melemparkan fitnah dan dakwaan tidak benar kepada beliau, isterinya, Betty Chew dan beberapa lagi pempimpin parti itu.

“Saya telah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguam untuk memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura atas ucapan kebenciannya terhadap saya.

“Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah acara Pas di Kemaman pada 4 November lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memberikan Siti Mastura tempoh 48 jam untuk mengemukakan bukti dirinya mempunyai tali persaudaraan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Ini selepas tular satu video ucapan Siti Mastura dalam program parti itu di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Dalam video berkenaan, beliau jelas menyatakan Guan Eng dan bapanya, Kit Siang mempunyai hubungan sepupu dengan Chin Peng dan Kuan Yew, selain hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP lain seperti Anthony Loke, Nga Kor Ming, Teresa Kok dan Datuk Ngeh Koo Ham.

Dalam pada itu, Guan Eng juga menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap dakwaan yang dibuat Siti Mastura.

“Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin harus menyatakan pendirian mereka mengenai fitnah terlampau Siti Mastura terhadap Kit Siang, saya dan DAP.

“Perhatian yang sama adalah sikap penyokong PAS yang terus-menerus mendukung dan memuji Siti Mastura hanya kerana fitnahnya telah menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin dan penyokong DAP serta rakyat Malaysia biasa.

“Penyokong PAS tidak peduli bahwa dia telah berbohong atau membuat kenyataan perkauman dan ekstremis asalkan itu melawan pemimpin DAP,” kata Guan Eng lagi.

BBerkaitan

Latest articles