Gagal Beri Kerjasama Siasatan, Chegubard Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan tangkapan terhadap aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard selepas gagal menghadirkan diri membantu siasatan membabitkan enam kertas siasatan terhadapnya.

Menurut beliau, angkapan ke atas Chegubard dibuat di Jalan Raja Laut pukul 8 malam tadi.

Mohd Shuhaily menolak dakwaan tangkapan itu ada kaitan dengan penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia pada esok, di ibu negara.

Sebaliknya Penyelaras Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu ditahan kerana keengganannya memberi kerjasama kepada polis untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan enam laporan polis terhadapnya.

“Sebelum ini polis sudah memanggil Badrul berhubung enam laporan polis yang dibuat terhadap beberapa kenyataan yang dikeluarkan.

“Antara siasatan yang dijalankan adalah berkaitan isu Ambalat, iaitu mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia semasa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Antara siasatan kes lain adalah seperti pendedahan harta yang dimiliki Anwar Ibrahim menerusi aplikasi TikTok milik Badrul serta pembocoran dokumen-dokumen sebuah jabatan kerajaan yang sepatutnya rahsia yang harus dilindungi,” katanya dalam sidang media di sini malam ini.

Tambah Mohd Shuhaily, polis telah memanggil Chegubard beberapa kali untuk bekerjasama merakam percakapan tetapi beliau gagal menghadirkan diri.

Katanya, polis juga sudah mengemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan beliau menerima notis tersebut dan menandatanganinya namun menyatakan keengganan untuk ke mana-mana balai polis berhampiran untuk merakam percakapan membantu siasatan termasuk satu lagi rakaman percakapan yang sepatutnya dilakukan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang pagi tadi.

“Oleh demikian polis tidak ada pilihan lain selain untuk memohon waran tangkap di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam dan membuat tangkapan pada pukul 8 malam tadi,” tegasnya.

Ditanya alasan yang diberikan oleh Chegubard, Mohd Shuhaily menjelaskan Chegubard hanya sekadar memberitahu dia tidak akan hadir untuk merakam percakapan kepada polis.

Beliau hairan bagaimana tokoh pemimpin lain termasuk bekas Perdana Menteri (PM) sendiri memberi kerjasama penuh untuk proses rakaman percakapan namun Chegubard pula sering memberikan alasan dan gagal hadir ketika dipanggil polis.

“Ini hanyalah proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan dan kita (JSJ) akan menyelesaikan rakaman percakapan beliau (Badrul) ke atas lima kertas siasatan malam ini sekiranya tiada masalah dan mendapat kerjasama baik daripada beliau (Chegubard) dan jika tidak ia mungkin terheret sehingga ke pagi esok.

“Ia hanya satu proses siasatan dan bukan kita hendak tangkap dan tuduh, kalau bekas PM kita pun boleh memberi kerjasama kepada kami untuk siasatan namun Badrul sering memberi alasan dan gagal memenuhi panggilan polis untuk merakam percakapan bantu siasatan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles