Gagal Bayar Hutang Punca Adik Ipar Jadi Mangsa Rogol

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan kejadian rogol terhadap seorang wanita oleh lima lelaki pada 30 Ogos lalu berpunca daripada kegagalan abang iparnya melunaskan hutang.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, memaklumkan tangkapan yang dibuat ke atas suspek dan hasil soal siasat mendapati dia merancang perbuatan terkutuk itu dengan meminta mangsa tidak mengunci pintu rumah pada hari kejadian 30 Ogos lalu.

“Mangsa dan abang ipar duduk satu rumah di Blok D13, Seksyen 2 Wangsa Maju.

“Abang ipar mangsa dipercayai ada berhutang duit dengan salah seorang suspek masih bebas. Namun, tiada pengakuan rogol direkodkan daripada abang ipar mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, abang ipar mangsa berusia 29 tahun ditahan di depan sebuah restoran di Jalan Rampai Niaga 5, Taman Sri Rampai Sabtu lalu susulan laporan mangsa 26 tahun itu berhubung kejadian rogol pada 4.52 pagi.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tersedar daripada tidur apabila mulutnya ditutup dan tangannya diikat kain.

Ashari menjelaskan seramai lima lelaki berada di dalam bilik mangsa, dengan seorang suspek merogolnya, manakala seorang lagi merakam video kejadian itu.

Suspek direman enam hari hingga 8 September ini untuk disiasat mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan empat suspek masih bebas.

“Polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi pegawai penyiasat Siti Fadzilah Ahmad Fisal 017 6240252 atau hotline polis Kuala Lumpur 03 21159999 atau balai polis berhampiran.”

BBerkaitan

Latest articles