SHAH ALAM: Gara-gara hutang tatu bernilai RM120, empat lelaki sanggup bergaduh menggunakan senapang ikan dan busur di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Setia Alam, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu mencetuskan kekecohan apabila video pergaduhan mereka tular di media sosial, selain menyebabkan beberapa kenderaan rosak.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Pemangku Senior Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semua suspek berusia antara 26 hingga 28 tahun dan berasal dari Sabah, ditahan 15 minit selepas kejadian.
“Polis turut merampas selaras senapang ikan, busur, sebatang ekzos motosikal, kuku kambing dan sebuah kereta Perodua Axia yang digunakan dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada hutang tatu yang tidak dilunaskan oleh salah seorang suspek hingga mencetuskan pertengkaran dan kekerasan fizikal.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Selain itu, polis turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya yang disenaraikan dalam jadual kedua akta berkenaan.
Mohd. Iqbal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Vemal di talian 011-39216101.










