Gaduh Besar Depan Surau Akibat Pertaruhan Judi, Empat Cedera Parah

MUAR: Pertikaian berhubung pertaruhan judi bertukar menjadi pergaduhan besar melibatkan kira-kira 20 individu di hadapan sebuah surau di Jalan Sakeh, Taman Sakeh, awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 12.45 tengah malam itu dimaklumkan kepada pihak polis melalui panggilan orang awam, menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.

“Motif pergaduhan dikenal pasti berpunca daripada rasa tidak puas hati berkaitan pertaruhan judi. Kesemua mereka adalah warga tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Susulan insiden itu, polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut, manakala empat individu lain cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Baki suspek masih bebas dan sedang diburu oleh pihak polis. Usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” tambah beliau.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 148, Seksyen 326, dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang melibatkan kesalahan merusuh menggunakan senjata, menyebabkan kecederaan parah serta cubaan membunuh.

Polis juga dalam usaha mengenal pasti kesemua individu yang terlibat melalui siasatan menyeluruh, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Erwine Pedaron di talian 013-7609454.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menimbulkan ketegangan atau rasa tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles