Gabungan BN-GRS Mampu Bawa Perubahan Kepada Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu memilih calon yang mampu membawa perubahan dan pembangunan di kawasan mereka serta Sabah keseluruhannya, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi BN Sabah itu, mengingatkan pengundi Sabah agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan sentimen parti lawan kerana mereka tidak mampu membuat perubahan jika menang.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah untuk memilih calon BN dan GRS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Calon BN-GRS mampu membawa perubahan dan pembangunan yang lebih baik di Sabah jika diberi mandat pada PRU-15 kerana kita adalah calon kerajaan negeri.

“Kemenangan kita bakal menyumbang kepada kemenangan BN secara keseluruhan bagi membentuk kerajaan baharu persekutuan dan ini sudah tentu memberi kelebihan kepada kita untuk membawa pembangunan di Sabah.

“Justeru, rakyat Sabah perlu memilih calon BN dan GRS pada hari mengundi Sabtu ini. Janganlah terpengaruh dengan dakyah dan sentimen yang dibawa parti lawan kerana mereka tidak mampu membuat apa-apa jika menang sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, meluahkan keyakinan bahawa BN dan GRS mampu memenangi sebahagian besar daripada 25 kerusi di Sabah berdasarkan sokongan yang diterima sepanjang kempen PRU15.

Katanya, rakyat Sabah juga kini sedar rekod pencapaian kerajaan BN sebelum ini adalah yang terbaik berbanding kerajaan selepas itu, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat, selain Parti Warisan (Warisan) di peringkat negeri.

“Buat apa lagi kita memberi peluang kepada PH atau PN untuk memerintah negara ini sedangkan ketika mereka berkuasa dulu, bukan rakyat yang menjadi keutamaan, sebaliknya keadaan kita bertambah susah.

“Begitu juga di Sabah, Warisan dulu berkuasa bukan atas mandat rakyat selain gagal membawa perubahan yang signifikan untuk manfaat rakyat negeri ini kerana terlalu banyak berpolitik.

“Sebaliknya, BN dan GRS yang membentuk kerajaan negeri berdasarkan mandat rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020 mempunyai hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah termasuk usaha memulihkan ekonominya,” katanya.

Bung Moktar yang juga calon BN bagi Parlimen Kinabatangan berkata, PRU-15 ini sangat penting untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara dan rakyat.

“BN mesti dimenangkan supaya apa yang sudah dirancang sebelum ini termasuk apa yang digariskan dalam Belanjawan 2023 dapat dibentang semula dan dilaksanakan sebaik mungkin kerana ada banyak kebaikan yang disediakan untuk rakyat.

“Malah, BN menambahnya lagi dengan janji dalam manifesto PRU-15 yang menekankan kebajikan rakyat termasuk usaha menambah pendapatan untuk rakyat di bawah garis kemiskinan supaya pendapatan mereka dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Jika tidak, apa yang diusahakan ini hanya sia-sia dan akhirnya rakyat yang mengalami kerugian, lebih-lebih lagi jika kerajaan yang dibentuk nanti tidak sehaluan dengan kerajaan GRS-BN di peringkat negeri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles