Gabung Atau Tidak, Parti Yang Putuskan – Ismail Sabri

SUNGAI SIPUT: Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan parti lain atau tidak, perlu dibuat berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, keputusan itu perlu dibincang dan diputuskan melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Tak boleh kata akan bergabung. Kita pun tak tahu lagi. Keputusan penggabungan dengan sesiapa sekali pun, parti mana sekali pun adalah keputusan parti.

“Parti yang akan membuat keputusan. Kalau kita menang dan kita boleh membentuk kerajaan… kita boleh membentuk kerajaan. Itu akan difikirkan.

“Selepas pilihan raya, kita seberang jambatan dahulu dan kemudian baru kita putuskan. Kita  bukan putuskan cara bersendirian. Kita mungkin panggil mesyuarat khas MKT untuk buat keputusan, katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di sini, pagi tadi.

Turut hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan calon BN Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, penggabungan yang pasti adalah antara BN dengan gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, BN tidak boleh berpisah dengan gabungan parti dari kedua-dua negeri kepulauan Borneo itu kerana ia diibaratkan menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Yang pasti yang saya sebut di Sarawak semalam, kita pasti akan mewujudkan gabungan bersama parti dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles