Frontliner Perangi Covid-19 Adalah Wira Negara, Kata Perdana Menteri

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghargai kesemua ribuan petugas barisan hadapan yang sedang berkorban segala-galanya untuk memerangi penularan wabak Covid-19 dengan menggelarkan mereka sebagai wira negara.

Beliau pagi tadi mengadakan satu sesi sidang video bersama petugas kesihatan dari Hospital Sungai Buloh yang diketuai oleh Pengarah hospital berkenaan Dr Kuldip Kaur a/p Prem Singh.

Turut sama ialah Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Yasmin Mohamed Gani serta tujuh anggota perubatan di pelbagai peringkat yang terlibat dalam memerangi wabak COVID-19 di hospital itu.

“Alhamdulillah. Mereka semua kelihatan ceria, sihat dan bersemangat untuk terus bekerja membasmi penularan COVID-19.

“Mereka semua bersama ribuan petugas di seluruh negara adalah wira negara. Wira yang tak didendang. ‘Unsung heroes’ yang bekerja keras sejak dari awal wabak ini dikesan. Pengorbanan mereka cukup besar dan tidak ternilai harganya,” kata Muhyiddin di laman Facebooknya hari ini.

Muhyiddin bagi pihak kerajaan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan untuk kerja keras dan sumbangan yang cemerlang ditunjukkan mereka sehingga wabak ini mampu ditangani dengan baik.

Muhyiddin ketika mengadakan sidang video dengan petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh, hari ini. Foto Facebook Muhyiddin Yassin.

Sejak tiga hari lepas negara sudah menerima kes baharu Covid-19 tidak melebih 100 kes dengan bilangan jangkitan terendah ialah sebanyak 36 kes iaitu semalam dengan tiada kematian berlaku.

Menurut beliau, para petugas di barisan hadapan sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini.

“Situasi terkini perkembangan kes COVID-19 di dalam negara yang menunjukkan trend penurunan adalah hasil peranan yang dimainkan petugas kesihatan serta semua anggota barisan hadapan seperti PDRM, ATM, RELA, JPAM dan pelbagai agensi lain termasuk para sukarelawan yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas masing-masing.

“Saya gembira mendengar yang mereka kini sudah ada masa untuk bertemu ahli keluarga. Terima kasih kepada semua ahli keluarga mereka kerana memahami dan merestui para ‘frontliners’ bertugas,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan bahawa peralatan perlindungan diri (PPE) di hospital kini mencukupi jika dibandingkan pada peringkat awal kes Covid-19 dikesan sebelum ini.

Beliau dalam sidang video itu menyampaikan sendiri kepada petugas barisan hadapan bahawa dunia kini mengiktiraf keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan wabak itu

“Ini semua adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mereka dan semua barisan hadapan dalam menjayakan langkah yang diambil kerajaan.

“Kita adalah antara yang terbaik di dunia! Namun saya ingatkan perjuangan belum berakhir. Masih banyak yang perlu kita lalui,” katanya.

Muhyiddin mendoakan semua petugas barisan hadapan untuk terus melakukan yang terbaik dalam usaha menamatkan pandemik itu di negara ini.

Rakyat negara ini juga menerima baik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila peratus pematuhan di negara ini adalah amat tinggi kira-kira 97 peratus di seluruh negara.

Ini menunjukkan mereka menerima pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan sentiasa memberikan perhatian setiap kali beliau muncul di depan televisyen menyampaikan perutusan khas. – TRI

BBerkaitan

Latest articles