KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap peningkatan kes buli siber dalam kalangan remaja menjadi tumpuan utama Forum “Langkah Kolektif Menangani Buli Siber” yang berlangsung hari ini sebagai sebahagian daripada Digital Empathy Event.
Forum berkenaan menghimpunkan pakar keselamatan digital, pihak berkuasa serta profesional kesihatan mental bagi membincangkan penyelesaian lebih holistik terhadap ancaman yang semakin menjejaskan kesejahteraan emosi pengguna media sosial muda.
Laporan semasa daripada agensi keselamatan siber menunjukkan peningkatan ketara kes ejekan, fitnah dan penghinaan dalam talian, terutama melibatkan pelajar sekolah dan remaja.
Forum ini menjadi platform penting untuk pakar, pendidik dan pelajar merangka strategi komunikasi digital yang lebih selamat, beretika serta berempati.
Antara yang turut berkongsi pandangan ialah DSP Rosdi M. Husin dari PDRM dan kaunselor UiTM Shah Alam, Masrina Abdul Halim.
Selain sesi panel, program turut menampilkan booth interaktif bertema buli siber serta pertandingan melukis poster yang dianjurkan lebih awal, dengan pemenang diumumkan semasa forum berlangsung.
Komitmen pelajar dalam memerangi budaya buli siber turut dizahirkan melalui Bacaan Ikrar Buli Siber yang diketuai wakil pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL), sebagai tanda iltizam kolektif untuk membudayakan empati digital.
Inisiatif ini dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Antarapersonal UiTM Shah Alam dengan kerjasama SSeMKL, selaras dengan kempen “Think Before You Type”.
Program tersebut turut menonjolkan kepentingan kemahiran komunikasi antara personal dalam era digital, yang kini dianggap antara kompetensi paling dicari majikan global, melangkaui kemahiran teknikal dan teknologi maklumat.










