Forensik JSJ Guna Alat Imbasan 3D Siasat Semula Kes Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR: Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggunakan peralatan imbasan 3D bagi menjalankan siasatan dan lakonan semula di lokasi kejadian kes kematian Teoh Beng Hock.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, peralatan tersebut digunakan susulan daripada perubahan struktur tempat kejadian Teoh yang ditemui mati 15 tahun lalu.

“Saya lihat secara peribadi tempat (itu) bukan lagi pejabat tetapi adalah penyimpanan (stor) barang perabot jualan di kedai bawah ini.

“Struktur memang sudah berubah.. kita cuba reconstruct balik lokasi jenayah ini dalam konteks 3D. Sejauh mana ia dapat membantu kita, dalam memperkemaskan lagi siasatan tunggulah hasilnya,” katanya menurut Malaysiagazette selepas melawat semula lokasi kejadian malam tadi.

Beliau menjangkakan hasil janaan daripada imbasan 3D akan siap dalam tempoh dua minggu.

Katanya lagi, beberapa anggota bomba turut membantu siasatan yang dilakukan malam ini.

“Pihak bomba untuk menunjukkan kepada kami sama ada mendiang dengan ketinggian pegawai tadi lebih kurang sama untuk lakon semula sekiranya dalam beberapa situasi (iaitu) sama ada sendiri atau dipaksa terjun dan sebagainya..boleh atau tidak boleh daripada tingkap tersebut.

“Itu ujian untuk memuaskan hati bahawa perkara itu boleh berlaku dalam situasi yang berbeza-beza,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihaknya turut menggunakan dron untuk melihat struktur bangunan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Suhaily memaklumkan pihaknya telah memanggil lima saksi kejadian yang pernah dipanggil sebelum ini.

“Lima ini siapa? Buat masa ini kita tidak boleh beritahu siapa tapi dia adalah saksi relevan dalam siasatan awal,” tambahnya.

Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan setuju supaya polis membuka semula siasatan kematian bekas pembantu Exco Selangor itu.

Beliau turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilakukan secara telus dan adil tanpa ada campur tangan mana-mana pihak.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat 5 bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan kematiannya akibat membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuah menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

BBerkaitan

Latest articles