PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan pelaksanaan program subsidi tiket penerbangan FlySiswa bernilai RM400 bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu selepas mengambil kira keluhan pelajar, khususnya dari Sabah dan Sarawak yang berdepan kos perjalanan tinggi untuk pulang ke kampus atau ke kampung halaman.
Menurut beliau, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, bagi memastikan program berkenaan diteruskan serta diperkasakan.
“Ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak berdepan kos perjalanan yang tinggi. Oleh itu kita teruskan program FlySiswa dengan subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 bagi membantu mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi untuk laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar menjelaskan, sebelum ini bantuan tersebut hanya diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun kerajaan kini memperluaskan kelayakan kepada pelajar daripada lebih banyak institusi pendidikan.
Antara institusi yang kini turut layak menerima manfaat itu ialah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan, institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati kemudahan subsidi penerbangan yang disediakan kerajaan.
“Dengan peluasan ini, jumlah penerima dijangka meningkat kepada 50,000 pelajar pada 2026, berbanding 44,000 pelajar pada tahun lalu,” katanya.










