KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tular menerusi sebuah video, kononnya beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah sendiri.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai satu sangkaan liar yang langsung tidak berasas, selain boleh mengelirukan rakyat dan mencetuskan persepsi negatif terhadap dirinya.
“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan dimasukkan ke dalam akaun parti dan diuruskan secara telus oleh Bendahari Agung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan tuduhan itu timbul akibat maklumat palsu yang diterima Dr Mahathir daripada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau menegaskan tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Namun begitu, Muhyiddin berpandangan sebagai seorang negarawan, Dr Mahathir sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan terbuka.
“Dalam banyak pertemuan saya dengannya, isu ini tidak pernah dibangkitkan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara sebenar supaya tidak berlaku fitnah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan beliau dengan Dr Mahathir sebelum ini adalah baik, malah beliau sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah perpaduan orang Melayu, sambil menyatakan rasa hormat terhadap bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang tokoh veteran negara.










