KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didakwa menerbitkan kenyataan fitnah mengaitkannya dengan dakwaan tidak benar di media sosial.
Menurut Mohd Na’im, firma guaman Akberdin & Co telah mengeluarkan surat tuntutan kepada individu tersebut berhubung penerbitan kandungan yang menyebarkan tuduhan berniat jahat dan tidak berasas.
Katanya, kandungan berkenaan bukan sahaja mencalar reputasinya sebagai anggota pentadbiran kerajaan, malah boleh menjejaskan maruah serta kedudukan institusi hal ehwal agama.
Beliau turut menjelaskan bahawa video tular itu menampilkan dakwaan kononnya beliau menjadi dalang berlakunya kegiatan maksiat di negara ini, malah disertakan petikan berita mengenai operasi spa songsang yang dikaitkan dengannya secara tidak tepat.
“Tindakan undang-undang ini diambil untuk mempertahankan kebenaran, menjaga reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Na’im menegaskan semua dakwaan yang disebarkan adalah palsu serta tidak mempunyai sebarang asas.
Beliau mengingatkan bahawa penyebaran fitnah merupakan kesalahan undang-undang dan bercanggah dengan nilai Islam yang menuntut keadilan serta menolak tohmahan.
Katanya lagi, langkah membawa perkara itu ke muka pengadilan dibuat mengikut haknya sebagai warganegara dan bukannya bertujuan menghukum secara peribadi, sebaliknya bagi memastikan ruang digital tidak dijadikan medium penyebaran kebencian dan manipulasi persepsi.
“Saya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak peguam,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mohd Na’im menegaskan fokus utamanya kekal kepada amanah sebagai menteri dalam kerajaan dengan memberi tumpuan kepada agenda Malaysia MADANI, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama dan kebajikan ummah.
Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati ketika berkongsi maklumat di media sosial dengan mengamalkan budaya semak sebelum sebar serta menjaga adab dalam berinteraksi.










