KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Julai depan untuk memutuskan jumlah ganti rugi yang bakal dibayar kepada Datin Seri Rosmah Mansor dalam saman fitnah melibatkan dakwaan penggunaan ilmu hitam oleh seorang pengguna TikTok.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan tarikh tersebut selepas prosiding taksiran ganti rugi dijalankan hari ini secara dalam talian.
Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, menyaman Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, berhubung video tular pada 22 Mac 2023 yang didakwa memfitnah dan mencemarkan nama baik serta imej beliau sebagai figura awam dan penaung badan amal.
Dalam afidavit yang difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Rosmah menuntut ganti rugi RM1 juta, dengan alasan kenyataan fitnah itu memberi kesan besar kepada reputasinya dan menyebabkan gangguan emosi, kemurungan, serta hilang keyakinan untuk tampil di khalayak.
“Saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham,” jelas Rosmah dalam afidavitnya.
Menurut peguam Rosmah, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, mahkamah telah membangkitkan isu undang-undang yang perlu dijawab sebelum keputusan ditentukan.
Hujahan bertulis dijangka difailkan dalam tempoh dua minggu oleh pihak plaintif.
Pada 28 Mei 2024, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar selepas Ku Muhammad Hilmie gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk membela diri dalam kes saman tersebut.
Rosmah memfailkan saman pada 19 September 2023, mendakwa video defendan bukan sahaja memfitnah tetapi juga menggambarkan beliau sebagai individu yang gagal mempraktikkan nilai-nilai Islam.