KUALA LUMPUR: Pendakwah Firdaus Wong mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seorang individu susulan beberapa hantaran di media sosialnya yang membangkitkan isu pembinaan rumah ibadat di tapak yang tidak dibenarkan.
Beliau memaklumkan laporan polis turut dibuat mengenai perkara itu.
“Saya akan membuat laporan polis selepas solat Jumaat terhadap seorang individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang mengeluarkan ugutan bunuh kepada saya.
“Saya hanya membincangkan soal undang-undang berkaitan pembinaan kuil haram berdasarkan laporan media dan kajian. Namun, ada pihak yang bertindak secara emosi tanpa fakta hingga sanggup mengugut nyawa saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Firdaus menegaskan bahawa beliau tidak gentar dengan ancaman tersebut kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam.
“Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu manfaat, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain dari apa yang telah Allah tetapkan untukmu.
“Dan andaipun mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu (Sunan At-Tirmidzi no. 2516).
“Hasbunallah wa ni’mal wakiil. Cukuplah Allah menjadi penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung,” katanya.
Beliau turut menasihati pengikutnya agar tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Apa jua yang berlaku, teruskan menyokong usaha dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM),” ujarnya.