Meskipun Malaysia berulang kali menegaskan bahawa ia tidak akan tunduk kepada tuntutan negara luar, namun Filipina nampaknya terus mendesak agar Sabah diserahkan kepada mereka.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodoro Locsin Jr menerusi kenyataan terbarunya berkata beliau akan menghidupkan semula sebuah pejabat di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) yang dikhaskan sebagai usaha merebut semula Sabah.
Ciapan di Twitternya juga mendakwa wujudnya “biro lama dalam DFA yang secara eksklusif menumpukan perhatian pada masalah itu”, merujuk kepada Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara.
“(Sama ada)… akan menghidupkannya atau beri nafas baru,” katanya.
Bukan itu sahaja Locsin turut mendakwa wujud amalan rasuah di kalangan calon presiden Filipina sejak bertahun dahulu agar tuntutan negara itu ke atas Sabah dihentikan.
Locsin menyifatkan amalan yang bermula sejak tahun 1970-an itu yang berlaku di kalangan calon pembangkang sebagai mengkhianati rakyat dan ‘tidak masuk akal’.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Malaysia tidak sesekali menyerahkan Sabah kepada Filipina dan negeri itu kekal sebagai sebahagian dari negara ini.
Reaksi Muhyiddin itu berkait dengan ciapan Locsin pada Julai lalu disusuli dengan perkembangan terbaru dimana Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut membidas Locsin kerana mengeluarkan “kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan 2 hala”.
Filipina mempunyai tuntutan lama terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.
Locsin, pada baru-baru ini menegaskan bahawa Filipina tidak akan berputus asa menuntut Sabah meskipun memberitahu tidak akan mencetuskan perbalahan di antara dua negara.
“Walaupun kita selalu berusaha untuk memastikan ia tidak mempengaruhi hubungan dengan Malaysia, itu terserah kepada mereka tetapi kita pasti tidak akan pernah menyerah.
“Sebagai penyambung kedaulatan kesultanan Sulu, Filipina mempunyai pemilikan sah dan kedaulatan atas Borneo Utara, atau apa yang saya panggil sebagai pulau tropika Borneo,” katanya.