Filem ‘Pulau’: LPF Dapati Ada Perbezaan Kandungan Di Media Sosial Dengan Kandungan Dikemukakan Untuk Penapisan

KUALA LUMPUR: Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengambil maklum mengenai isu yang berbangkit terhadap filem bergenre seram iaitu ‘Pulau’.

LPF berkata treler filem ‘Pulau’ ditayangkan secara dalam talian iaitu melalui platform internet, dan didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF.

LPF mendapati bahawa terdapat perbezaan antara kandungan di laman media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

“Filem ‘Pulau’ adalah merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan,”katanya dalam satu kenyataan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kenyataan itu menjelaskan, LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiabudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan.

“LPF, KDN melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2022 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, keculai melalui internet.

“Di dalam mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan filem dan bahan publisiti filem, LPF akan membuat penelitian berdasarkan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010 seperti, keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, dan ketertiban dan ketatasusilaan,” jelasnya.

Semalam, media melaporkan FINAS tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, dilaporkan berkata garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa LPF.

Media turut melaporkan Pulau yang bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kecaman pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu.

Dalam pada itu, LPF menghargai pandangan dan maklumbalas berkenaan dengan penapisan filem di negara ini.

 

BBerkaitan

Latest articles