FIFA Salurkan Bantuan Covid-19 Hari Ini

Lebih teruk saingan liga sesebuah negara terjejas, lebih banyaklah dana yang akan diterima.

Itu mekanisme mudah yang dijangka diguna pakai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam mengagihkan dana Bantuan COVID-19 kepada ahli gabungan selepas pandemik itu melumpuhkan industri bola sepak di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata, dana itu akan tetap diagihkan kepada semua ahli gabungan namun ia bergantung kepada sejauh mana saingan di negara itu terkesan dengan virus terbabit.

“FIFA akan bincangkan mekanismenya bersama semua konfederasi esok (hari ini) dan semua ahli gabungan sudah membentangkan dokumen yang diperlukan.

“Dana COVID-19 ini berbeza dengan dana di bawah program pembangunan. Dana inilah yang perlu digunakan ahli gabungan bagi membantu memulihkan saingan liga mereka dan pasukan yang terjejas dengan situasi COVID-19.

“Namun pengagihannya akan berbeza mengikut situasi dihadapi di setiap negara. Mungkin ada ahli gabungan yang mendapat lebih sedikit dan mungkin ada yang mendapat kurang berbanding negara lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai dana sebanyak AS$500,000 (RM2.18 juta) yang diagihkan kepada setiap ahli gabungan di bawah Program Forward 2.0 sebelum ini, Windsor menjelaskan dana itu adalah dana pembangunan yang sememangnya patut diterima mereka setiap tahun.

“Agihan itu dibuat secara berperingkat sebelum ini dan pembahagiannya dibuat tiga bulan sekali dan ketika program pembangunan mahu dijalankan.

“Tetapi disebabkan COVID-19 ketika ini, FIFA membuat keputusan untuk mengagihkan semuanya secara terus dan apa jua dana yang masih tinggal dalam badan induk itu.

“Jadi, dalam konteks Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), terpulang kepada bagaimana mereka mahu menggunakan dana itu kerana mereka pasti ada perancangan tersendiri. Secara dasarnya, dana itu adalah untuk program pembangunan dan kos operasi mereka,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img