KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan laporan penuh berhubung keputusan menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya, selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran mereka.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menyatakan hukuman itu dibuat berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Tujuh pemain yang dinamakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Siasatan FIFA mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan kepada badan itu tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Hasil semakan silang dengan pihak berkuasa pendaftaran luar negara turut mengesahkan bahawa individu yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan dilahirkan di Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam dokumen diserahkan kepada FIFA.
Antara dapatan yang disenaraikan dalam Lampiran 13 laporan itu ialah:
• Nenek Gabriel Felipe Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol
• Datuk Facundo Tomas Garces berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina
• Datuk Rodrigo Julian Holgado dilahirkan di Buenos Aires, Argentina
• Nenek Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, Argentina
• Datuk Joao Vitor Brandao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil
• Datuk Jon Irazabal Iraurgui lahir di Viscaya, Sepanyol
• Datuk Hector Alejandro Hevel Serrano dilahirkan di The Hague, Belanda
FIFA menjelaskan, semua maklumat itu telah disahkan secara rasmi, dan tiada bukti sahih menunjukkan kaitan keturunan langsung dengan Malaysia.
Laporan turut menyebut bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mengeluarkan salinan dokumen berdasarkan maklumat sekunder yang diterima, bukan daripada rekod kelahiran asal.
Walaupun FAM dan pemain terbabit menegaskan semua dokumen diperoleh melalui saluran sah, FIFA menegaskan prinsip tanggungjawab mutlak (strict liability) tetap terpakai bermaksud kegagalan mengesahkan ketulenan dokumen dikira sebagai pelanggaran tatatertib, tanpa mengira niat menipu.
Tujuh pemain berkenaan pernah beraksi dalam beberapa perlawanan rasmi skuad kebangsaan, termasuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025, dengan dua daripada mereka menjaringkan gol.
Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak antarabangsa.
FAM diberikan 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda, dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Pendedahan ini sekaligus menjawab tanda tanya peminat bola sepak tempatan mengenai punca sebenar tindakan disiplin FIFA terhadap FAM, yang sebelum ini menimbulkan spekulasi kerana semua pemain warisan berkenaan telah beberapa kali beraksi bersama Harimau Malaya sejak Mac lalu.