KUALA LUMPUR: Skandal pemalsuan sijil kelahiran melibatkan tujuh pemain naturalisasi Malaysia memasuki fasa baharu apabila FIFA mengumumkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Siasatan komprehensif itu bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab serta menilai sejauh mana sistem pematuhan dalaman FAM gagal berfungsi.
Menurut Jawatankuasa Rayuan FIFA, siasatan perlu memberi tumpuan awal kepada peranan Setiausaha Agung FAM yang digantung, Noor Azman Rahman, bersama dua ejen berlesen FIFA iaitu Nicolas Puppo dan Frederico Moraes yang turut dinamakan dalam prosiding.
“Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,” tegas kenyataan itu.
Susulan arahan tersebut, sekretariat Jawatankuasa Disiplin FIFA kini ditugaskan menjalankan siasatan formal.
Kontroversi ini tercetus selepas FIFA mengekalkan hukuman ke atas FAM dan tujuh pemain naturalisasi Malaysia yang didapati menghantar dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Jun lalu. FAM sebelum ini dikenakan denda 350,000 franc Switzerland (sekitar RM1.8 juta), manakala setiap pemain termasuk Gabriel Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado dan João Figueiredo dikenakan denda serta penggantungan 12 bulan daripada aktiviti bola sepak.
Lebih membimbangkan, FIFA turut memerintahkan satu siasatan berasingan terhadap tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin bagi menentukan sama ada pemain tidak layak turut diturunkan.










