KUALA LUMPUR: Bersatu dalam semangat kebersamaan walaupun dengan perbezaan arah dan tujuan, dua syarikat terkenal, XO House dan High Cultured, menyifatkan tiada apa yang mustahil dalam kolaborasi yang dijalankan.
Namun, tanpa diduga, kedua-dua syarikat ini sebenarnya berkongsi visi pemikiran yang sama, sekaligus menyatukan elemen fesyen serta muzik.
Sambutan ulang tahun ke-17 High Cultured tahun ini begitu bermakna, kerana ia menandakan pencapaian penting jenama streetwear terkemuka Malaysia tersebut yang berkolaborasi bersama syarikat muzik XO House melalui sebuah konsert mini pada 17 Januari lalu.
Acara tersebut bukan sekadar pelancaran produk, tetapi juga sebuah pengalaman yang penuh makna, mencipta kenangan indah yang sukar dilupakan.
XO House x High Cultured House Party berlangsung dengan penuh semangat di Bentley Music Auditorium. Hampir 1,000 penonton dan peminat menghadiri malam yang penuh keceriaan dan kegembiraan tersebut.
Untuk rekod, tiket konsert mini ini habis terjual seperti pisang goreng panas dalam tempoh kurang daripada seminggu selepas diumumkan.
Konsert ini turut menyaksikan pelancaran lapan reka bentuk baju eksklusif yang mencerminkan identiti simbolik XO House serta kerjasama unik antara dua dunia.
Pengalaman ini ditingkatkan lagi dengan persembahan hebat oleh bintang naungan XO House, termasuk Iman Troye, Dalia Farhana, Zubir Khan, Naim Daniel, dan Alya Mardien, yang mempamerkan gabungan sempurna antara muzik dan fesyen streetwear.
Apa yang menjadikan ‘House Party’ ini lebih istimewa adalah ia turut menampilkan persembahan eksklusif daripada artis-artis terlibat, memukau para hadirin dengan bakat luar biasa mereka. Selain itu, barangan eksklusif diberikan kepada tetamu sebagai sentuhan istimewa pada malam tersebut.
Adib Hamdi, Pengasas dan CEO XO House, berkata kerjasama bersama High Cultured adalah satu padanan yang semula jadi.
“Kami berkongsi visi yang sama untuk menggabungkan seni, inovasi, dan budaya. ‘House Party’ ini adalah pencapaian yang melakar kejayaan manis buat kami,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2020 oleh Adib, XO House adalah sebuah label rakaman yang menyokong artis muda tempatan dengan menyediakan platform hebat dalam persekitaran positif untuk kejayaan mereka. XO House juga menawarkan pengurusan bakat, pengeluaran muzik dan video, serta perkhidmatan strategi pemasaran.
Dalam perjalanan mencapai kejayaan, XO House telah mencipta beberapa kisah inspirasi. Contohnya, Iman Troye pernah dicalonkan untuk Anugerah Pilihan Kanak-Kanak Nickelodeon dalam Kategori Artis Asia Terbaik mewakili Malaysia pada tahun 2024. Lagu “Langit Yang Sama” nyanyian Dalia Farhana pula berjaya meraih pengiktirafan 2x Platinum.
Baru-baru ini, XO House memperkenalkan artis berbakat baru seperti Zubir Khan dengan lagu hitnya “Yennode Macha,” serta Naim Daniel, Juara AJL ke-34. Selain itu, Alya Mardien, yang baru sahaja menandatangani kontrak, kini sedang dibimbing untuk mengembangkan kerjayanya.
Sementara itu, KC Teo dan Dennis Low, pengasas High Cultured, berkata tujuan kerjasama ini adalah untuk menyediakan platform yang menggalakkan kreativiti serta membawa pemikiran positif kepada golongan muda dan khalayak yang lebih luas.
“Apabila kami bertemu dengan pengasas XO House, kami sedar bahawa kami mempunyai visi dan pemikiran yang sama. Justeru, inilah yang membawa kepada kerjasama ini,” kata mereka.
“Kerjasama ini juga menjadi platform yang kukuh untuk sambutan ulang tahun ke-17 kami. Dalam masa 17 tahun, High Cultured telah berkembang dari sebuah permulaan kecil menjadi salah satu jenama streetwear utama di Malaysia, dengan lebih daripada 16 cawangan di seluruh Malaysia Barat,” tambah mereka