PUTRAJAYA, – Persiapan terakhir bagi Festival of Ideas Putrajaya 2025 kini giat dijalankan, menandakan penganjuran edisi kedua festival berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Kerajaan Madani.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Kadir berkata, festival kali ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran tahun 2024 dan bakal menjadi platform nasional mengumpulkan idea-idea rakyat Malaysia merentasi pelbagai bidang, daripada sains dan teknologi hingga seni serta budaya.
“Kita mahu menjadikan iedea sebagai budaya rakyat Malaysia, tempat semua golongan memberi pandangan dan idea membina tanpa mengira latar belakang, demi masa depan negara,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan festival itu di PICC Putrajaya, petang ini.
Jelas Dr Zambry lagi, matlamat utama festival ini ialah untuk mengangkat Malaysia sebagai rujukan antarabangsa dalam pembangunan idea dan inovasi dan Putrajaya bakal dijadikan City of Ideas dengan pelbagai aktiviti yang mencerminkan daya cipta rakyat negara ini.
Festival tersebut turut disertai pemimpin luar negara termasuk Menteri Pendidikan Tinggi Indonesia dan Setiausaha Pendidikan Tinggi Filipina, serta perwakilan ASEAN, OIC dan rantau South-South.
“Alhamdulillah, kali ini kita berjaya menarik minat pemimpin luar untuk bersama meraikan. Tahun depan, kita jangka penyertaan lebih luas termasuk dari Afrika dan Asia Tengah,” katanya.
Festival IDIA 2025 yang berlangsung selama empat hari mulai 4 hingga 8 November ini menampilkan lebih 100 acara, termasuk Sidang Idea Malaysia, My Idea Connects, Global Higher Education Summit & Showcase, FOI Run Challenge, dan Sounds of Malaysia yang mempersembahkan seni serta budaya tempatan.
Antara tarikan utama ialah pameran “1001 Inventions: The Enduring Legacies of Muslim Civilization”, yang mengetengahkan pencapaian tamadun Islam, China, India dan Barat dalam membentuk dunia moden.
KPT turut menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bergaji premium menerusi Karnival Kerjaya serta Internship Market Week, selain pelbagai forum dan sidang selari.
Dalam pada itu, Tambah Dr Zambry lagi, Festival of Ideas kini diangkat sebagai inisiatif di bawah jawatankuasa peringkat Kabinet, dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Ini bukan lagi program KPT semata-mata, tetapi usaha bersama pelbagai kementerian untuk menjadikan Malaysia dalam peta dunia sebagai negara yang meraikan idea,” jelas beliau.
Peluncuran rasmi festival akan disempurnakan oleh KDYMM Raja Permaisuri Agong pada 6 November, manakala Majlis Penutupan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, selepas TPM 1 dan TPM 2 menghadiri sesi pembukaan pada hari-hari awal.
Bertemakan Sustainability: Melakar Masa Depan dan Merealisasikan Idea, festival tahun ini menekankan keperluan merancang masa depan dengan melaksanakan idea-idea inovatif hari ini.
Penganjuran tahun ini turut melibatkan 13 negeri seluruh Malaysia, selepas kejayaan edisi pertama di Putrajaya tahun lalu.
Dengan pengunjung fizikal dijangka mencecah 500,000 orang dan 2 juta pelayar maya, Festival of Ideas Putrajaya 2025 dijangka menjadi acara pemikir dan pencetus inovasi terbesar di rantau ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab idea dan inspirasi global.










