Felo Perdana Perlu Diteruskan, Beri Pendedahan Fahami Dasar Kerajaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kesemua peserta Felo Perdana mengambil peluang sebaik-baiknya dalam program ini, terutama dalam memahami dasar-dasar negara.

Malah beliau berharap kesemua 56 peserta program ini akan dapat mempamerkan khidmat cemerlang kepada menteri masing-masing.

“Satu rencana yang memberikan pendedahan kepada anak muda agar dapat mengenali bukan saja sosok pimpinan tetapi rutin bekerja, tradisi dan budaya kerajaan dalam kerajaan serta memberi peluang untuk memahami dasar-dasar dan saya percaya akan dapat menambah pengalaman.

“Saya doakan mudah-mudahan progran ini yang dipilih khas anak-anak prestasi baik dan cemerlang, bagi manaat sebaiknya untuk persiapan pimpinan akan datang,” katanya selepas majlis penyerahan Program Felo Perdana 2023 di Perdana Putra.

Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Kabinet.

Untuk rekod, ini merupakan tahun ke-sepuluh program Felo Perdana dianjurkan.

Felo Perdana adalah program berbentuk mentor dan latihan industri dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara dan bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang selaras dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.

Peserta akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada Jemaah Menteri.

Setiap menteri diperuntukkan dua peserta Felo Perdana dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN) bermula hari ini dan berakhir 31 Disember depan.

Anwar menerima Dayang Nur Syawanie Abang Redzuan, graduan dari Sekolah Politik dan Sains Sosial Eropah, Perancis dan Muhamad Firdaus Ali dari Unverisiti Shiga, Jepun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima dua felo iaitu Mohamad Azirul Hanif Mohamad Sri, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Citra/Pengurusan Bioteknologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Tan Li Ying yang merupakan graduan Universiti Malaya (UM).

Kesemua mereka akan menerima elaun bulanan sebanyak RM2,000 seorang bagi graduan lepasan universiti dan RM1,000.00 seorang bagi siswa/siswi yang masih menuntut di universiti.

Untuk rekod, seramai 763 orang Felo telah terpilih untuk menyertai program sejak ia dimulakan pada 2013.

BBerkaitan

Latest articles